Akuarium Gergasi Meletup, Cetus ‘Tsunami’


Akuarium gergasi di dalam sebuah hotel di Jerman meletup baru baru ini dan mencetuskan ‘tsunami’ yang menyebabkan kerosakan besar berlaku. Akuarium setinggi 24.99 meter (m) itu terletak di ruang legar Hotel Radisson Blu, pusat bandar  Berlin. Ia pecah sekitar pukul 5.50 pagi (waktu tempatan) sekaligus membunuh semua 1,500 ikan tropika yang berada di dalamnya.


Letupan di Akuarium AquaDom itu melepaskan sejuta liter air ke lobi dan memutuskan bekalan elektrik di hotel tersebut. Dua orang cedera akibat terkena serpihan kaca dan menerima rawatan di hospital. Terdapat spekulasi suhu beku  menyebabkan keretakan pada tangki kaca yang kemudian meletup,  bagaimanapun pihak polis masih menyiasat punca sebenar letupan. Usaha turut dilakukan untuk menyelamatkan tambahan 400 hingga 500 ekor ikan kecil yang ditempatkan di dalam akuarium lain di bawah lobi hotel tersebut kerana tanpa bekalan elektrik, haiwan itu tidak dapat menerima oksigen yang diperlukan untuk  terus hidup. 

Pelbagai pertubuhan termasuk Zoo Berlin menawarkan untuk mengambil ikan-ikan yang masih hidup.Aquarium Aquadom  yang menempatkan ikan-ikan tersebut digambarkan sebagai tangki silinder terbesar di dunia. Antara 80 jenis ikan yang ditempatkan di akuarium utama ialah blue tang dan clownfish iaitu dua spesies ikan berwarna-warni yang terkenal dalam filem animasi, Finding Nemo. 

Menurut kata Datuk Bandar Berlin, Franziska Giffey,malangnya, tiada seekor  pun daripada 1,500 ikan itu dapat diselamatkan. Giffey berkata, kejadian itu  mencetuskan ‘tsunami sebenar’ tetapi masa awal pagi telah menghalang lebih banyak kecederaan daripada berlaku. Letupan itu menyebabkan lobi hotel dipenuhi dengan lebih sejuta liter air, sebahagian daripadanya melimpah  ke luar kompleks menyebabkan polis menutup jalan-jalan berdekatan

 

0/kiriman komen