Seorang pemandu kereta jenis Proton Wira diburu selepas dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama, Skudai, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kejadian itu dikesan selepas sebuah video tular di Facebook. Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 8 malam melibatkan kemalangan langgar lari antara kereta Proton Wira dan sebuah motosikal Honda Wave.
Suspek iaitu pemandu kereta dikatakan memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal seorang penghantar makanan yang berhenti di persimpangan laluan terbabit. Pemandu lelaki itu kemudian melarikan diri dengan memandu secara melulu dan melawan arus. Fariz berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera pada belakang badan.
Siasatan mendapati kereta dipandu suspek dilaporkan hilang di Pelangi Indah pada Ahad lalu. Kereta Proton Wira itu kemudiannya ditemui pada pukul 10 pagi kelmarin selepas ditinggalkan suspek di tepi Jalan Persiaran Scientex Utama, Senai. Polis sedang mengesan pemandu kereta tersebut untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Catat Ulasan