Seorang pramugari syarikat penerbangan tambang murah dari India, IndiGo dirakam menengking seorang penumpang ketika penerbangan selepas individu berkenaan dikatakan memarahi rakan sejawatnya hingga membuatkan wanita itu menangis.
Pertengkaran itu dikatakan bermula apabila penumpang lelaki tersebut meminta sandwic. Dia kemudian diberitahu seorang pramugari akan memeriksa sekiranya terdapat menu seperti diminta sebelum mula menengking kru penerbangan tersebut.
“Cuba faham situasi kami. Terdapat troli (makanan) dan makanan yang sudah tersedia (di dalam pesawat). Kami hanya boleh menghidangkan apa yang ada (dalam pesawat),” kata pramugari tersebut.
Penumpang tersebut kemudian didengar berkata: “Mengapa anda menengking?”
“Kerana anda menengking kami. Saya minta maaf tetapi anda tidak boleh bercakap dengan kru begitu. Saya mendengar kata-kata anda dengan tenang dan dengan penuh hormat, jadi anda perlu menghormati kami juga,” jawab pramugari tersebut.
Penumpang berkenaan kemudian menengking pramugari tersebut dan mengarahkannya agar diam.
“Anda yang perlu diam. Maafkan saya tetapi anda tidak boleh bercakap begitu. Saya seorang kakitangan dan bukannya orang gaji anda,” kata pramugari tersebut.
Pertengkaran itu berakhir apabila pramugari berkenaan memakai pelitup muka dan berlalu dari tempat duduk penumpang terbabit.
Sementara itu, seorang jurucakap IndiGo berkata, isu tersebut berlaku disebabkan oleh menu yang dipesan oleh penumpang yang menaiki penerbangan itu menerusi jaringan perkongsian kod.
“Kami menyedari insiden yang berlaku dalam penerbangan 6E 12 dari Istanbul ke New Delhi pada 16 Disember 2022.
“Kami sedang menyiasat insiden itu akan sentiasa memastikan bahawa keselesaan penumpang adalah keutamaan kami,” katanya.
Catat Ulasan