Hampir 40 orang dimasukkan ke hospital di sebuah bandar di Uruguay selepas diserang kawanan lebah.. Ketika kejadian, sebilangan penduduk tempatan terpaksa berlari keluar meninggalkan kenderaan mereka di tengah jalan dan cuba melarikan diri selepas kawanan lebah itu memasuki kereta melalui tingkap yang terbuka.
Insiden itu berlaku petang Khamis lalu di tengah bandar Melo. Polis mengesahkan bahawa 37 orang termasuk lapan kanak-kanak dikejarkan he hospital untuk menerima rawatan. Polis terpaksa membawa mangsa yang disengat dengan menaiki kereta peronda ke hospital ketika anggota lain menutup jalan di tengah bandar untuk memastikan tiada penduduk lain memasuki kawasan itu.
Salah seorang daripada mangsa memberitahu anaknya berlari seperti orang gila tetapi dia disengat kira-kira 15 kali. Menurutnya lagi,ramai orang berada dalam keadaan terdesak. Mereka meninggalkan motosikal dan kereta. Beliau telah menurunkan tingkap kereta sebelum sekawan lebah muncul entah dari mana lalu masuk. Kejadian itu berpunca daripada dua sarang lebah yang disimpan tanpa kebenaran di sebuah rumah berhampiran, tempat di mana pemandu dan pejalan kaki disengat.
Penternak lebah dengan pakaian pelindung dipanggil untuk mengeluarkan sarang menggunakan racun dalam operasi yang mengambil masa hampir sejam. Tidak jelas mengapa lebah itu menyerang, tetapi pakar berkata, ia mungkin tertekan disebabkan bunyi hon kereta.
Catat Ulasan