Kawanan Biri-Biri Berjalan Dalam Bulatan


Satu kawanan biri-biri di China dilaporkan berjalan dalam formasi bulatan selama hampir dua minggu dan punca fenomena itu masih belum diketahui. Tingkah laku aneh itu dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah ladang biri-biri di wilayah Inner Mongolia. 


Menerusi rakaman ini, berpuluh-puluh ekor biri-biri dilihat berjalan mengikut arah jam dalam satu bulatan besar. Beberapa ekor haiwan lain dilihat berada di dalam kandang atau berdiri di tengah bulatan kerana tidak dapat bergerak.  Walaupun kawanan biri-biri itu dilaporkan sihat dan sempurna, tidak jelas sama ada ia berhenti berjalan untuk makan atau haiwan-haiwan lain menggantikan posisi berjalan dalam bulatan. 

Pemilik ladang ternakan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Miao memberitahu bahawa hanya sebilangan biri-biri berjalan dalam bulatan pada 4 November lalu dan kemudian diikuti berpuluh-puluh yang lain pada hari-hari berikutnya. Lebih aneh apabila walaupun ladang ternakan itu memiliki 34 kandang, hanya biri-biri dari kandang 13 yang menyertai kumpulan yang berjalan.  

Pelbagai teori telah dikemukakan sejak video ini tular. Teori yang paling popular adalah biri-biri itu dijangkiti bakteria menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai listeriosis atau ‘penyakit bulatan’. Menurut dokumen rujukan perubatan, Merck Manual, haiwan yang terjejas pada awalnya akan kurang selera makan, tertekan dan keliru. Ia akan bersandar di satu sudut atau objek pegun atau berjalan mengelilinginya.

 

0/kiriman komen