Mendarat Cemas Selepas Langgar Burung


Sebuah pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas melanggar kawanan burung sejurus berlepas. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu setakat ini. Wakil Pentadbiran Aviasi Persekutuan memaklumkan bahawa pelanggaran tersebut berlaku pada Isnin lalu melibatkan  pesawat C-37 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago Midway. 


Percikan api muncul pada enjin kiri selepas pesawat itu merempuh kawanan burung di udara. Kru penerbangan kemudian keluar dari pesawat dengan pantas selepas ia mendarat. Ketua Biro Pengawal Kebangsaan Ketua Staf Bersama, Jeneral Daniel Hokanson ialah antara pegawai yang berada di dalam pesawat tersebut ketika kejadian. 

Beliau merupakan anggota tertinggi pasukan tentera Pengawal Kebangsaan. Sejurus mendarat, kakitangan lapangan terbang dan kru penerbangan menyangka kerosakan enjin menjadi penyebab kepada insiden itu. Namun, mereka kemudian menemui  bangkai burung yang besar di landasan.  Menurut kata seorang pegawai Tentera Udara AS,keputusan untuk berpatah balik ke lapangan terbang diambil atas dasar berwaspada. Siasatan kini sedang dijalankan bagi insiden tersebut. 

 

0/kiriman komen