Padah Bunyi Ekzos Bising


Tindakan seorang remaja lelaki membuat onar menerusi bunyi bising ekzos motosikalnya membawa padah apabila dicekup di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14, di sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, suspek berusia 19 tahun ditangkap ketika jatuh semasa cubaan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, dua Unit Rondaan Bermotosikal ( URB ) Balai Polis Seksyen 9 yang menerima aduan berhubung kumpulan motosikal membuat bising telah ke lokasi tersebut bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi tersebut.

Apabila tiba didapati suspek yang dikenalpasti membuat bising itu cuba melarikan diri namun terjatuh ketika membuat pusingan.

Suspek dan motosikal yang digunakan semasa kejadian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan sebanyak tujuh saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dengan motosikal suspek kemudiannya disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.
 

0/kiriman komen