Polis Kesan Individu Buang 13 Naskah Al-Quran


Polis sedang menjalankan siasatan bagi memburu pihak yang bertanggungjawab membuang 13 naskhah al-Quran di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di ibu negara kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kira-kira pukul 11.32 pagi hari ini, pihak polis telah menerima aduan dari seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun yang merupakan ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan.

Ketika wanita tersebut sedang beriadah bersama suaminya, dia ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik. Hasil pemerhatian pengadu mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.

Kemudian, pengadu telah meminta bantuan dari seorang lelaki Melayu yang tidak dikenali berada berhampiran dengannya untuk membawa naik beg itu.

Tambah Eng Lai, kesemua naskah al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.


Sebelum ini video berkaitan tular di media sosial sejak pagi tadi dimana seorang individu merakam anak lelakinya yang berada di dalam longkang bagi mengambil al-Quran yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206
 

0/kiriman komen