Air Pasang Besar Burukkan Banjir


Fenomena air pasang besar yang dilaporkan berlaku sehingga Ahad ini dijangka memburukkan keadaan banjir di Sri Medan, Sri Gading, Ayer Hitam dan Parit Raja di sini.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, walaupun cuaca cerah sejak tiga hari lalu namun paras air banjir kini dalam trend meningkat.

Katanya, situasi itu jelas apabila sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka ditenggelami air, sejak semalam

Menurutnya lagi,keadaan banjir yang semakin buruk, menyebabkan sebanyak 15 PPS di Sri Medan, Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam terpaksa ditutup kerana ditenggelami air. Mangsa di PPS tersebut dipindahkan ke kawasan lain yang lebih selamat.

Belum pernah ketika banjir sebelum ini PPS ditutup. Keadaan PPS ini memberi kesan kepada pengurusan bencana di peringkat daerah kerana pihaknya  perlukan lokasi pemindahan baharu dengan segera.

Ini adalah kali pertama berlaku apabila PPS yang pada asalnya selamat untuk dijadikan penempatan sementara mangsa ditenggelami air dan bukan satu atau dua PPS tetapi 15

Dalam pada itu, Nasri berkata, susulan 15 PPS yang ditutup itu, mangsa banjir kini dipindahkan ke kolej komuniti dan kolej kediaman UTHM.

Seramai 1,000 mangsa terjejas banjir kini dipindahkan ke lokasi PPS yang baharu membabitkan Kolej Kediaman Perwira UTHM.

Ini juga merupakan pelan tindakan segera yang dirangka bagi operasi penyelamatan dan penempatan PPS.

Dalam pada itu, Nasri berkata,11 masjid dan surau di daerah ini dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

Sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 45,003 mangsa masih ditempatkan di 175 PPS seluruh negeri melibatkan 12,498 keluarga.


Namun dalam keadaan banjir termenung yang berlaku ada pihak  mengambil kesempatan bersuka ria  dengan  mandi manda di air yang sudah pasti tidak terjamin kebersihannya seperti dalam video ini.Harap mereka yang berkenaan ini dapat menjaga keselamatan diri supaya tidak berlaku sebarang kemalangan atau mendapat jangkitan dari air banjir  ketika bersukaria mandi manda di situ.
 

0/kiriman komen