Tulisan Hina Nabi


Tembok pagar Masjid Andalusia di Bandar Laguna Merbok, di sini diconteng dengan tulisan yang menghina nabi dalam kejadian dipercayai berlaku pagi kelmarin.

Difahamkan, kejadian disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah bangunan berdekatan apabila melihat seorang lelaki sedang menconteng tembok berkenaan menggunakan cat berwarna merah.

Jemaah masjid, Mohd. Hashim Ali, 53, berkata, ini merupakan kali pertama kejadian itu berlaku di masjid berkenaan yang disifatkan pelakunya sebagai kurang ajar.

Beliau  dimaklumkan pengawal keselamatan terbabit bertindak menegur lelaki berkenaan sebelum suspek bergegas meninggalkan lokasi menyebabkan dia tidak sempat ditahan.


Menerusi video ini , kelihatan seorang lelaki sedang menconteng tembok pagar masjid berkenaan sebelum bergegas meninggalkan lokasi apabila menyedari perbuatannya diperhatikan.

Namun begitu pihak pengurusan masjid berkenaan telah mengecat semula pagar terbabit bagi menutup tulisan itu selepas laporan polis dibuat.

Sementara itu, seorang penduduk, Halim Mat Yatim, 49, berkata, tindakan lelaki itu sememangnya biadab dan pihak berkuasa perlu bertindak segera menahannya.

Beliau difahamkan pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis berpandukan video dan gambar yang sempat dirakam oleh pengawal keselamatan ketika kejadian kelmarin.

Menurutnya lagi,kejadian kali pertama berlaku ini mengejutkan beliau dan  penduduk di sini dan ia perlu dibanteras segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kerana selama ini penduduk di sini hidup aman damai walaupun berbilang bangsa dan agama.

Pihak pengurusan masjid enggan memberi sebarang komen berkaitan kejadian itu sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

0/kiriman komen