Buruk Siku, Ambil Balik Minyak Petrol Diisi Pelanggan


Seorang pekerja stesen minyak mengeluarkan kembali minyak petrol yang telah diisi seorang lelaki kerana enggan menerima wang kertas denominasi 2,000 rupee (RM111.52).


Dalam video ini, pelanggan berkenaan tiba di stesen minyak tersebut yang terletak di kawasan Orai Kotwali dalam negeri Uttar Pradesh.

Selepas mengisi tangki minyak skuternya, lelaki tersebut menyerahkan wang kertas 2,000 rupee kepada pekerja berkenaan, namun dia enggan menerima wang itu.

Pelanggan tersebut memberitahu bahawa dia hanya mempunyai wang kertas denominasi 2,000 rupee untuk membuat pembayaran.

Pekerja berkenaan bagaimanapun menegaskan bahawa stesen minyak itu tidak menerima wang kertas 2,000 rupee sebelum dia mula mengeluarkan semula minyak yang telah diisi menggunakan paip getah.

Meskipun cuba dihalang oleh pelanggan tersebut, pekerja stesen minyak tidak mengendahkannya dan terus mengepam keluar minyak tersebut dari tangki skuter berkenaan.

Wang kertas 2,000 rupee hanya sah diguna sehingga 30 September 2023  dan ketika ini, rakyat India dibenarkan menukar wang kertas tersebut di bank-bank berdekatan.
 

0/kiriman komen