Rempuh Kereta Keluar Simpang


Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang merempuh sebuah kereta dipandu warga emas di sebuah persimpangan di Batu 6, di Jalan Gombak Lama, di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian pukul 2 petang itu berlaku semasa kereta dipandu lelaki berusia 87 tahun berkenaan keluar dari simpang menghala ke Gombak, dari Kampung Kerdas.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan hendak keluar dari simpang sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah motosikal yang datang dari arah kanan.

Kereta berkenaan kemudian terbabas ke kiri jalan akibat rempuhan itu, manakala penunggang motosikal terbabit tercampak ke atas jalan raya.

Menurut Zainal, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penunggang motosikal berkenaan masih gagal dikesan.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 3(2)(B) LN166/5943(1) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diminta tampil ke balai berdekatan.

Saksi kejadian juga boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil di 0196004104 atau 0361262222 untuk tindakan lanjut.

 

0/kiriman komen