Lelaki Menyamar Polis


Dua lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki cuba menahan kenderaan orang awam dengan menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua lelaki berusia 43 dan 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 6 petang, kelmarin.


Tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian dengan deorang daripada suspek adalah penjawat awam. Selain itu, seorang lagi suspek masih bebas dan sedang dikesan.


Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah,katanya dalam satu kenyataan.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu ‘beacon light’ mudah alih, lampu suluh, ‘headlight’ dan sebuah kereta Honda City serta anak kunci.

Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek telah dibuat di Mahkamah Majistret Kulai dengan seorang suspek direman dua hari, manakala permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang.

Pada pukul 1.52 tengah hari kelmarin, polis menerima laporan tentang video tular dalam Facebook memaparkan tiga lelaki menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara.
 

0/kiriman komen