Seperti Anak Sendiri


Seorang nelayan di Indonesia berkawan dengan seekor buaya air masin sepanjang 4 meter selama lebih 20 tahun dan menganggap reptilia itu sebahagian daripada masyarakat tempatan.

Ambo, 59, dari Kota Bontang, Kalimantan Timur mendapat perhatian di negaranya kerana persahabatan luar biasa dengan seekor buaya gergasi bernama Riska.

Riska sudah menjadi sebahagian daripada hidup Ambo selama 26 tahun sejak ia pertama kali dilihat di perairan Pupuk Kaltim. Buaya itu hanya bersaiz kira-kira 1 meter ketika itu.


Ambo tidak mengendahkan kehadiran Riska apabila ia lalu di bawah botnya, namun apabila buaya itu mengikutinya pulang, dia memberinya makanan dan persahabatan itu bermula.

“Jika saya tidak melihatnya selama dua atau tiga hari, saya akan mencarinya. Saya layan ia seperti anak sendiri,” kata Ambo.

Riska sering terapung berhampiran bot Ambo dan tidak akan pergi sehingga nelayan itu mengusap belakang badannya.

Ia selalu melawat rumah Ambo apabila lapar dan lelaki itu gembira untuk berkongsi makanan.

Apabila Ambo tiada di kampung selama dua tahun kerana bekerja di Samarinda, dia meminta nelayan tempatan untuk menjaga Riska. 

Mereka akan memberinya makan lebih tangkapan dan sejak itu Riska menjadi sebahagian daripada penduduk tempatan. 
 

0/kiriman komen