Tidak Bayar Hutang Punca Kereta Dilarikan


Gara-gara ibu gagal melunaskan wang pinjaman, kereta milik anak lelakinya dirampas tiga lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, di sini pagi kelmarin.


Menerusi video ini , memaparkan seorang pemandu Perodua Axia ditarik keluar dua lelaki sebelum kenderaannya dilarikan di persimpangan lampu isyarat terbabit yang berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga lelaki tempatan yang berusia lingkungan 27 sehingga 49 tahun semalam.

Katanya, suspek ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan Seberang Jaya serta dekat sini.

Hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020.

Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.

Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah tiga lelaki untuk merampas kereta mangsa.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan.

Pihaknya  juga masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes ini.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU ditalian 04-5759122.
 

0/kiriman komen