JDT Juara Piala FA 2023


Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan Piala FA berjaya dipertahankan buat dua musim berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Kejayaan memenangi piala itu buat kali ketiga (2016, 2022 dan 2023) juga cukup manis apabila diraih di hadapan penyokong sendiri selain skuad Harimau Selatan mencatat nama menjadi pasukan keempat selepas Kuala Lumpur pada 1993 dan 1994, Kedah (2007 dan 2008) dan Kelantan (2012 dan 2013) yang berjaya mempertahankan kejuaraan dua kali berturut-turut.


Sebaik perlawanan bermula, skuad kendalian Esteban Solari mula mengorak langkah dengan mengasak ke kubu KL City dan seawal minit kedua, Arif Aiman Hanapi bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti tetapi sempat dihalang pertahanan skuad The City Boys

KL City nyata tidak berdiam diri sebaliknya hampir mengejutkan JDT pada minit ke-15 selepas bola sepakan percuma Paulo Josue tepat kepada Matko Zirdum yang sempat merembat namun penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berjaya menghalang dengan badan bagi mengelak gawang dibolosi.

Malang buat JDT selepas peluang terhidang untuk merungkai jaringan terlepas apabila bola rembatan Afiq Fazail dari luar kotak penalti pada minit ke-27 sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol, Kevin Mendoza sudah tertewas.

Sekali lagi skuad kendalian Bojan Hodak hampir mencipta jaringan pada minit ke-35 apabila bola sepakan Ramirez tepat kepada T Saravanan yang berjaya memperdaya Matthew Davies sebelum merembat bola leret tetapi sipi di sebelah kiri gawang ketika Ahmad Syihan Hazmi sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, Fernando Forestieri terlepas peluang untuk merungkai jaringan pada minit ke-50 selepas bola sepakan percuma dari jarak 25 meter menyaksikan Mendoza sempat melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Malang buat anak didik Solari apabila gol yang dijaringkan Bergson pada minit ke-56 dibatalkan oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas pemain itu berada dalam keadaan ofsaid ketika melakukan susulan bola rembatan Arif Aiman yang terkena tiang gol.

Selepas memerah segala keringat menggempur benteng skuad The City Boys akhirnya gol yang dinanti menjelma pada minit ke-65 selepas Shio Hong Wan melakukan rembatan dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza untuk meletak JDT mendahului 1-0.

Leandro Velazquez kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol kedua apabila dia yang tidak dikawal merembat bola di antara Sebastian Avanzini dan Kamal Azizi Zabri pada minit ke-74.

0/kiriman komen