Pura-Pura Kutip Sampah Demi ‘Content’


Seorang wanita di Australia menjadi sasaran  kecaman  kerana berpura-pura mengutip sampah di tepi pantai demi memuat naik kandungan di laman  sosial.

Apa yang menjadi kemarahan ramai adalah wanita dipercayai pesohor media sosial itu bertindak meninggalkan beg plastik sampah selepas rakaman berakhir.


Berdasarkan video ini seorang wanita berambut perang dilihat mengutip sampah-sarap di tepi pantai sambil memegang beg plastik berwarna hitam.

Aksinya dirakam seorang rakannya dari jarak dekat dan dalam masa sama, aksi mereka berdua dirakam individu lain dari jauh.

Selepas ‘berlakon’ selama beberapa saat, wanita itu melepaskan beg plastik yang dipegangnya dan menari sebelum beg tersebut dibiarkan di atas tanah.

Rakannya dalam masa sama menamatkan rakaman sebelum mereka berdua berlalu dari situ.

Seorang saksi yang turut menyaksikan insiden itu didengari menjerit ke arah mereka sambil berkata: “Anda meninggalkan beg itu di situ. Anda berpura-pura mengutip sampah, saya memerhatikan anda berdua,” kata individu tersebut.

Kata-kata itu bagaimanapun tidak dipedulikan dengan  kedua-dua wanita berkenaan terus berjalan meninggalkan lokasi kejadian.

“Bagaimana untuk menunjukkan kepada dunia bahawa anda mengambil berat akan alam sekitar, bahagian satu. Pastikan rakan anda merakam gelagat anda. Bahagian dua, raikan ‘lakonan’ bertaraf anugerah Oscar itu dengan melakukan tarian yang teruk,” kata seorang netizen secara sinis. 
 

0/kiriman komen