Anggota Jpj Cedera Dirempuh Penunggang Y125zr


Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan cedera otot leher dan kepala akibat dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika Operasi Penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer (KM) 28 Lebuh Raya Seremban, Port Dickson, Negeri Sembilan, pagi semalam.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR itu telah melanggar sekatan dan merempuh anggota yang bertugas di lokasi penguatkuasaan pada pukul 11 pagi.

Hasil daripada siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal tersebut masih mempunyai dua senarai hitam masih aktif.


Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu Seksyen 23 (1) APJ 1987 kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012.

Seterusnya, Seksyen 90 (1) APJ 1987 kerana tiada perlindungan insurans manakala Seksyen 26 (1) APJ 1987, tiada lesen memandu kompeten (CDL).

“Motosikal terbabit juga disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987,”ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif  Yusabra Yusuf berkata, anggotanya telah dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya,akibat dirempuh penunggang motosikal terbabit, anggota bertugas mengalami kecederaan pada bahagian otot leher dan kepala.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dilakukan dan penunggang motosikal tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Justeru, JPJ menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR.

0/kiriman komen