Motosikal Rempuh Kereta Masuk Simpang


Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta Toyota Yaris di Kilometer 2, Jalan Mak Lagam-Cheneh berhampiran simpang tiga Kampung Mak Lagam di sini malam kelmarin.

Dalam kemalangan pada pukul 9.50 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Darwish Zainuddin yang merupakan pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Yaris dipandu seorang juruteknik berusia 34 tahun bersama isteri dan dua anaknya sedang membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan kanan.

Dalam masa sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda NF100 dari arah bertentangan menghala ke bandar Chukai di sini gagal mengelak lalu merempuh kereta tersebut.

Menurutnya lagi,pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter di tengah jalan sebelum motosikal pula dirempuh sebuah lagi kenderaan jenis BMW 520i dipandu seorang wanita berusia 49 tahun bersama dua penumpang.

Hanyan berkata, Muhammad Ammar Darwish disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Tambah beliau, mayat remaja lelaki itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

0/kiriman komen