BMW Rempuh Honda CR-V


Seorang maut manakala dua lagi iaitu pemandu kenderaan cedera selepas terlibat dalam nahas dua buah kenderaan di Lebuh Raya MEX Kilometer (KM) 15 menghala ke Kuala Lumpur, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta BMW dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V, pada pukul 3.05 petang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada kereta BMW yang hilang kawalan sebelum melanggar belakang kanan Honda CR-V yang juga datang dari arah Putrajaya.


Akibat pelanggaran itu, kereta Honda CR-V terbabas di tepi kiri jalan manakala kereta BMW berpusing menyebabkan penumpang hadapan tercampak ke atas jalan raya sebelum kereta terbabas ke bahu jalan.

Penumpang, lelaki tempatan berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat Penyelia sebuah syarikat pengangkutan berkenaan dibawa ke Forensik Hospital Serdang bagi tujuan post mortem.

Sementara itu, pemandu BMW, 29, merupakan seorang Pengurus syarikat kejuruteraan mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta kerana bengkak belakang leher.

Seterusnya, pemandu CR-V, 73, merupakan pesara telah mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan disahkan mengalami keretakan pada leher

Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) iaitu saksi kenderaan lain sewaktu kejadian telah dihubungi dan akan hadir ke IPD Serdang dalam masa terdekat kerana berada di luar kawasan.

Kes disiasat di bawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
 

0/kiriman komen