Enjin rosak menjadi punca sebuah bot barter trade merempuh jeti Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang di sini,kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu mengakibatkan dua buah kapal layar yang berlabuh di lokasi tersebut, rosak akibat diseret bot barter berkenaan. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, siasatan awal mendapati bot KLM Maulana Hasil Abadi dari Indonesia itu dinaiki 15 kru warga Indonesia.
Katanya, bot berkenaan bagaimanapun mengalami kerosakan enjin secara tiba-tiba selepas keluar dari Jeti Asa Niaga.
“Kerosakan itu kemudian mengakibatkan bot barter itu hilang kawalan lalu merempuh jeti dan dua kapal layar di kawasan tersebut. Namun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan bot berkenaan berjaya dibawa ke Jeti Fulsail,” katanya.
Tambah Mohd. Sharenliza, pihaknya yang sedang melakukan rondaan rutin di negeri ini kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dengan pemeriksaan mendapati situasi dalam keadaan terkawal dan semua kru bot terselamat
Catat Ulasan