Lubang Bersaiz Bola Lisut Ditemui Pada Pesawat


Sebuah pesawat kargo melakukan pendaratan cemas sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di Miami, Florida kerana mengalami kerosakan enjin.


Pesawat syarikat penerbangan Atlas Air, Boeing 747-8 itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Miami (MIA) menuju ke Puerto Rico sekitar pukul 10.11 malam (waktu tempatan) kelmarin.

Beberapa saksi kejadian melihat api pada sayap kiri pesawat itu ketika ia berada di udara. Tidak lama kemudian, pesawat berkenaan berpatah balik setelah mengalami kerosakan enjin dan berjaya mendarat dengan selamat dalam tempoh satu jam perjalanan, kata jurucakap Atlas Air.

“Kakitangan penerbangan mengikuti semua prosedur standard dan selamat kembali ke MIA,” tambah kenyataan itu.

Atlas Air juga memaklumkan bahawa pihaknya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh untuk menentukan punca kerosakan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan selepas penerbangan mendedahkan penemuan lubang bersaiz sebiji bola lisut pada enjin pesawat itu.

Bilangan anak kapal yang berada di dalam pesawat ketika kejadian tidak didedahkan.
 

0/kiriman komen