Mersing Banjir Lagi


Jumlah mangsa banjir di negeri Johor meningkat semula apabila Mersing kembali dilanda banjir setelah seramai 595 mangsa daripada 180 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 7 malam semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan banjir di negeri ini meningkat kepada 5,023 mangsa daripada 1,400 keluarga di 35 PPS di enam buah daerah di negeri ini.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 4,630 mangsa daripada 1,280 keluarga di 36 PPS pada pukul 1 petang semalam.

“Kota Tinggi yang terjejas teruk akibat banjir menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir daripada 4,019 mangsa membabitkan 1,106 keluarga kepada 3,830 mangsa daripada 1,052 keluarga di 24 PPS."

“Sementara itu, Pontian pulih sepenuhnya setelah PPS di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya Pekan Nanas yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga ditutup tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan semalam

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Segamat dan Batu Pahat berkurangan kepada 89 mangsa daripada 26 keluarga di dua PPS di Segamat dan 79 mangsa daripada 21 keluarga di satu PPS di Batu Pahat.

Katanya, jumlah mangsa banjir di Kluang dan Johor Bahru tidak berubah dengan seramai 350 mangsa daripada 102 keluarga di tiga PPS di Kluang dan 80 mangsa daripada 19 keluarga di satu PPS di Johor Bahru. 
 

0/kiriman komen