Majlis Kahwin Tepi Rel Kereta Api


Khemah sebuah majlis perkahwinan didirikan di tepi landasan kereta api di Tanjung Priok, Jakarta Utara.

Dalam video ini, pelamin pengantin menutupi sebahagian laluan kereta api di kawasan berkenaan, selain terdapat juga pentas untuk nyanyian dangdut.


Khemah dihias dengan kain berwarna putih dan emas pula didirikan di antara dua landasan kereta api, manakala sebuah tren dilihat melintasi kawasan tersebut.

Berdasarkan maklumat, seorang penduduk Tanjung Priok cuba mengadakan majlis perkahwinan di tengah-tengah landasan kereta api.

Menurut Ketua Polis Tanjung Priok, Komisioner Polis Nazirwan, hasil pemeriksaan mendapati khemah majlis itu dipasang di tepi rel kereta api.

“Kesemua peralatan  bagaimanapun telah dibuka,” katanya kelmarin.

Sementara itu, syarikat PT Kereta Api Indonesia (API) Daerah Operasi (Daop) 1 Jakarta berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada seorang penduduk untuk mengadakan acara berkenaan di situ.

“Pihak Unit Pelaksana Teknikal (UPT) KAI Daop 1 Jakarta Tanjung Priok tidak memberi izin  kepada mereka secara bertulis mahupun lisan untuk mengadakan acara berkenaan."

“Namun, ternyata penduduk sama tetap mahu mengadakan acara tersebut meskipun tidak mendapat kelulusan,” kata Pengurus Perhubungan Awam Daop 1 Jakarta, Ixfan Hendriwintoko.
 

0/kiriman komen