Helikopter Hilang Ditemui


Pasukan penyelamat di barat laut Iran pagi tadi berjaya mengesan helikopter dinaiki Presiden Ebrahim Raisi yang hilang  tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan mangsa nahas masih hidup.

Kebimbangan meningkat mengenai nasib yang menimpa pemimpin berusia 63 tahun itu selepas helikopter membawa beliau dan Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian  serta beberapa pemimpin lain terputus hubungan di wilayah Azerbaijan Timur semalam.

“Selepas menemui bangkai helikopter, tiada petanda yang menunjukkan penumpang-penumpangnya masih hidup setakat ini,” kata stesen televisyen kerajaan 15 jam selepas pesawat  itu hilang


Terdahulu, ketua persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand menyatakan bahawa helikopter membawa Raisi  telah ditemui tetapi situasi adalah ‘tidak baik’.

“Helikopter itu telah ditemui. Kami sedang menuju ke arah bangkai helikopter tersebut,” katanya.

Raisi, 63, berada di wilayah milik Iran itu  semalam  untuk merasmikan Empangan Qiz-Qalasim.

Beliau  berlepas bersama Gabenor wilayah Azerbaijan Timur dan Abdollahian dalam konvoi disertai tiga buah helikopter.

Dua daripada helikopter itu selamat mendarat di destinasinya, namun Raisi dilaporkan hilang.

Kehilangan beliau mencetuskan operasi mencari besar-besaran dengan pasukan penyelamat menyusuri kawasan pergunungan, namun  bergelut dengan keadaan cuaca buruk. 

 

0/kiriman komen