Lelaki ‘Body Slam’


Seorang lelaki didenda pihak berkuasa New Zealand selepas cuba menghempas badannya pada seekor paus pembunuh (Orca) di perairan Devonport.

Jabatan Pemuliharaan New Zealand memberitahu, lelaki berusia 50 tahun itu didenda NZ$600 (RM1,725.68) kerana melakukan perbuatan yang dianggap ‘tidak cerdik’ dan ‘tidak bertanggungjawab’. 

Rakaman video ini menunjukkan lelaki itu terjun dari sebuah bot dan menghempaskan badannya Orca jantan yang berenang berhampiran. 

Dia menjerit: “Saya menyentuhnya (paus pembunuh),” sambil bertanya, “adakah anda dapat merakamnya?”.


Mereka yang berada di atas bot bersorak sambil mentertawakan lelaki berkenaan.

Pegawai penyiasat jabatan pemuliharaan, Hayden Loper berkata, dia terkejut menonton klip video itu. 

“Ini adalah tingkah laku tidak cerdik dan menunjukkan sikap pengabaian terhadap kebajikan Orca. Ia amat tidak bertanggungjawab,” kata Loper.

“Paus pembunuh adalah haiwan yang sangat kuat. Lelaki itu berisiko cedera,” tambahnya. 

Orca merupakan haiwan dilindungi di New Zealand. Berenang bersama haiwan itu adalah dilarang. 
 

0/kiriman komen