Pokok Tumbang Di Jalan Sultan Ismail


Sebatang pokok besar di Jalan Sultan Ismail, di sini, dilaporkan tumbang dan menghempap landasan monorel serta kenderaan yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, seorang lelaki meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang.
 
Sementara itu,Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat keperluan untuk mengkaji semula garis panduan penjagaan pokok-pokok tua di sekitar Kuala Lumpur.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini selepas, pihaknya telah mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.

Menurut beliau, sememangnya pokok-pokok tua hanya menunggu masanya untuk tumbang lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Kita lihat pokok itu tegap tetapi kita perlu melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam."

“Data berapa banyak pokok tua kita tidak ada buat masa ini, tetapi pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang masih ada,” katanya di lokasi kejadian pokok tumbang di ibu negara petang semalam.

Mengulas lanjut, kata beliau, pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh DBKL dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali."

“Pokok yang tumbang hari ini kita kesan iaitu merupakan pokok lama berusia lebih 50 tahun. Pokok ini di bawah pemantauan pihak swasta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“DBKL kebiasaan akan ambil tindakan dalam mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya. Kita akan hulurkan bantuan selain melihat insurans yang mereka ada.

“Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya.



0/kiriman komen