Pokok Tumbang Lagi Empat Kenderaan, Lima Motosikal Rosak


Kereta pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara yang dihempap pokok tumbang di Jalan Pinang, Jalan P Ramlee, di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datu Rusdi Mohd Isa, kejadian itu disahkan berlaku pada pukul 3.26 petang semalam.

“Sebanyak tiga buah kereta, lima buah motosikal dan sebuah kereta jenis Proton X70 milik PDRM, yang bertindak sebagai kereta pengiring Ketua Menteri Melaka turut terlibat."


“Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian ini kepada pemandu dan penumpang kenderaan terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian sebuah lagi pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Finance, di sini, hampir mengenai kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, keadaan beliau dan kenderaan yang dinaiki jenis Lexus 350 dilaporkan dalam keadaan selamat.

Menurut Pegawai Media Ketua Menteri Melaka, Shahnor Samsudin, ketika kejadian, rombongan Ab. Rauf sedang melalui kawasan tersebut untuk menghadiri satu urusan rasmi di ibu kota.

“Rombongan kami (Ketua Menteri) sebanyak empat kenderaan baru sahaja tiba dari Melaka. Kejadian tu betul-betul berlaku depan mata. Selang sebuah kereta sahaja."

“Kereta Ketua Menteri terselamat tetapi kereta pengiring polis jenis Proton X70 yang berada hadapan sekali turut terkena pokok yang tumbang,” ujarnya.
 

0/kiriman komen