Datang Naik Ex-5, Balik Naik Honda City Curi Akhirnya Kantoi Di Tangkap Polis


Gara-gara meninggalkan kereta tanpa dikunci, seorang akauntan kerugian kira-kira RM94,000 apabila kenderaan jenis Honda City miliknya dilarikan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di sini kelmarin.


Malah dalam kejadian itu mangsa yang berusia 38 tahun melalui detik mencemaskan apabila ibunya berusia 68 tahun yang berada dalam kereta turut dibawa sebelum ditinggalkan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian pada pukul 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa bersama bapa dan ibunya berhenti mengisi petrol di stesen minyak berkenaan.


“Ketika mengisi petrol ayah dan ibu pengadu (mangsa) pergi ke tandas dan setelah selesai mengisi petrol pengadu meletakkan kereta sebelum emaknya masuk ke dalam kereta.

“Tiba-tiba pengadu mendengar emaknya menjerit meminta tolong dan mendapati keretanya dilarikan,” katanya.

Tambah beliau, emak mangsa diturunkan di tepi jalan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian dan berada dalam keadaan selamat.

Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Hasil siasatan mendapati suspek datang ke stesen minyak itu dengan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 sebelum melarikan kereta pengadu.

“Semakan terhadap motosikal itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu. Semakan nombor casis menunjukkan kenderaan itu hilang sebelum ini,”ujarnya. 


update..

Suspek sudah ditangkap pagi ini di Bentong, Pahang.


Suspek yang mencuri kereta di sebuah stesen minyak di Semambu, Kuantan kelmarin sempat tidur selama kira-kira dua jam selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Chinta Manis di sini sebelum ditahan pihak polis.

Suspek yang berusia 40 tahun meninggalkan kereta jenis Honda City di pekan Karak sebelum menumpang orang awam ke Kampung Chinta Manis di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil maklumat awam mengenai kes pencerobohan rumah, satu serbuan dilakukan di rumah tersebut pada pukul 12.45 malam ketika suspek sedang tidur di ruang tamu rumah.

“Berdasarkan keterangan pemilik rumah, pada pukul 10 malam suspek datang ke rumah berkenaan dan terus masuk ke dalam rumah.


“Suspek kemudian mengurung penghuni rumah dalam sebuah bilik dan suspek telah tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.


Tambah Yahaya susulan penahanan suspek, polis berjaya menemukan kenderaan Honda City dicuri yang telah ditukarkan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan dengan hanya kesan calar di beberapa bahagian selepas tampalan poster dipercayai dikikis oleh suspek bagi mengelak ia dikesan.

“Pihak polis turut merampas sejumlah barangan termasuk satu bilah pisau, satu bilah pisau lipat, dua bilah gunting, tiga telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya.

0/kiriman komen