Seorang lelaki hilang kawalan hingga kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray, Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 10.20 malam ketika lelaki berkenaan bersama rakannya dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Saga 1.3 mengalami sawan."
“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu pekerja syarikat pembekalan barang ortopedik hospital berusia 30 tahun itu hilang kawalan hingga terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray hospital berkenaan."
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah, sementara rakannya, 28, dirawat di zon kuning akibat sakit dada,” katanya dalam satu kenyataan.
Catat Ulasan