Penduduk Naik ‘Haji’ Di Gunung Bawakaraeng


Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyiasat dakwaan video yang memaparkan sekumpulan penduduk melakukan ‘ibadat haji’ di sebuah gunung di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan baru-baru ini.

Menurut Ketua MUI bahagian Gowa, Abu Bakar Paka, pihaknya sedia maklum mengenai penyebaran  video tersebut di laman media sosial.

“Kami masih menyiasat kebenaran dakwaan itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa  daerah Tinggimoncong berhubung video tular naik haji di Gunung Bawakaraeng,” katanya.


Sebelum itu, sebuah video tular memaparkan sekumpulan ‘jemaah’ mendaki puncak gunung berketinggian 2,883 meter tersebut, didakwa untuk menunaikan haji.

MUI dan pemerintah setempat beberapa tahun sebelum ini pernah menutup laluan pendakian ritual tersebut kerana didapati menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Namun pada tahun ini, ritual sesat itu berulang kembali kerana ia dikatakan menjadi tradisi sejak turun-temurun.

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Safri berkata, kejadian itu bukan perkara baharu.

“Mereka datang dari beberapa daerah di Sulawesi Selatan secara berkumpulan beberapa hari menjelang Aidiladha."

“Mereka membawa barangan jampi serapah seperti beras, telur, ayam dan kambing serta menuju ke puncak Gunung Bawakaraeng,” katanya. 
 

0/kiriman komen