Bunyi Bising Apa Di Shah Alam


Seorang wanita gusar apabila secara tiba-tiba dia terdengar bunyi terlalu kuat di sekitar kawasan kediamannya di Shah Alam, Selangor sekali gus mencetuskan tanda tanya.

Wanita itu memuat naik hantaran pada aplikasi X mengenai situasi itu hari ini, yang menceritakan kedengaran seperti pesawat terbang rendah.

“Risau bunyi kuat tak pasti lah kapal terbang ke jet ke, tapi bunyinya kuat sangat macam terbang rendah. Mesti yang kat sekitar Shah Alam dengar bunyi ni,” katanya.

Bagaimanapun, menerusi salah satu hantaran seorang pengguna media sosial Warnida, wanita itu berkongsi video kira-kira 12 jet pejuang dari negara Jerman, Sepanyol dan Perancis yang mendarat Pangkalan Tentera Udara Subang dipercayai selepas tamat latihan di Australia.


Video itu sekali gus menjawab persoalan orang ramai yang tertanya-tanya dengan bunyi bising di ruang udara kedengaran di sekitar Shah Alam, Subang dan kawasan berdekatan.

Warnida memberitahu, pesawat itu mendarat semalam bermula tengah hari sehingga senja dan dipercayai pulang ke negara asal hari ini.

“Baru tadi naik dua ‘biji’ (dua pesawat berlepas pulang). Sempat dengar bunyi saja. Pukul 9 pagi (mula berlepas), tapi tak naik serentak,” ujarnya.

Banggakan, Malaysia jadi tempat persinggahan sementara pergi dan balik untuk negara-negara yang menyertai pertunjukan di Australia.

Sementara itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hantaran Facebook semalam memaklumkan kehadiran pesawat tersebut di Pangkalan Tentera Udara Subang.

“Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM telah meraikan kehadiran rakan sejawatnya dari German Air Force, Lieutenant General Ingo Gerhartz dan delegasi PACIFIC SKIES 2024 terdiri dari Perancis, Jerman dan Sepanyol yang melaksanakan persinggahan ke Malaysia pada hari ini (semalam).

“Terdahulu, Panglima Tentera Udara telah menerbangkan pesawat Su-30MKM bagi melaksanakan “Photo Exercise atau PHOTEX” bersama pesawat pejuang dari France Air Force (Rafale), German Air Force (Typhoon) dan Spanish Air Force (Typhoon) sewaktu ketibaan mereka di ruang udara Malaysia. Pesawat Typhoon dari German Air Force turut diterbangkan oleh Lieutenant General Ingo Gerhartz.

“Misi penerbangan PACIFIC SKIES 2024 ini telah melibatkan lebih 20 pesawat. Aset-aset tersebut melibatkan 12 jet pejuang yang merangkumi sembilan Eurofighter Typhoon (lima Jerman dan empat Sepanyol) dan tiga jet pejuang Dassault Rafale. Selebihnya lima pesawat pengisian minyak di udara Airbus A330 Multi-role Transport Tankers (MRTT) dan empat pesawat pengangkut taktikal Airbus A400M,” katanya.

Ketibaan delegasi PACIFIC SKIES 2024 di Pangkalan Udara Subang turut disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Shahada Ismail TUDM, bersama-sama duta besar dari ketiga-tiga negara terlibat. 

0/kiriman komen