Tebing Sungai Runtuh Di Puchong


Satu runtuhan dilaporkan berlaku membabitkan tebing sungai dan menenggelamkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air berhampiran Idaman BSP Taman Mas, Puchong kelmarin.


Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 4.14 petang kelmarin dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya bergegas ke tempat kejadian.

“Komander operasi melaporkan bahawa berlaku runtuhan tebing sungai dan telah menenggelamkan kawasan pembinaan projek loji rawatan air sedalam 19 meter."

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba membuat pemantauan dan memaklumkan kepada pihak pengurusan pembinaan bagi memberhentikan kerja-kerja pembinaan.

Katanya, bomba turut meminta pihak tersebut menghubungi Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan kawasan runtuhan selamat untuk kerja pembinaan diteruskan.
 

0/kiriman komen