Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh apabila sebuah pesawat membawa 181 penumpang dan kru terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan hari ini.
“Setakat ini, kami mengesahkan nahas menyebabkan 29 kematian. Namun, jumlah mangsa mungkin meningkat kerana terdapat mereka yang parah,” kata pegawai bomba tempatan, Lee Hyeon-ji.
Beliau berkata, anggota-anggota penyelamat sedang memindahkan penumpang dari bahagian belakang pesawat tersebut.
Nahas dipercayai berpunca akibat pelanggaran burung, mengakibatkan roda pesawat tidak berfungsi ketika pesawat itu cuba mendarat di lapangan terbang berkenaan, barat daya Korea Selatan.
Terdapat 175 penumpang dan enam anak kapal di dalamnya, tambah laporan tersebut.
Pesawat Jeju Air itu berlepas dari Bangkok, Thailand, manakala nahas tersebut berlaku semasa ia mendarat.
“Dua orang ditemui hidup dan operasi menyelamat masih dijalankan,” kata seorang pegawai bomba.
Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok menggesa semua sumber digunakan untuk menyelamatkan penumpang dan kru pesawat.
“Semua agensi berkaitan mesti menggerakkan semua sumber yang ada untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Catat Ulasan