
Seorang lelaki yang bertindak mencabul wanita di Bazar Ramadan Lurah Semantan dengan alasan sudah lama tidak ‘bersama’ wanita kerana mendakwa menghidap HIV positif ditahan polis semalam.
Berdasarkan rakaman video ini menyaksikan suspek yang berjalan di Bazar Ramadan Lurah Semantan di sini melanggar wanita dan mengambil kesempatan mencabul.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek berusia 41 tahun yang ditangkap orang awam kira-kira pukul 5.30 petang semalam kemudiannya ditahan pihak polis.
Katanya, pihak polis turut menerima laporan daripada mangsa yang terlibat dalam kejadian selepas video perlakuan suspek tular dalam media sosial.
“Mangsa pertama melaporkan dia telah dicabul oleh suspek pada 6 Mac lalu, manakala mangsa kedua dan ketiga pula pada 10 Mac lalu."
“Kesemua mangsa menyatakan dicabul semasa sedang berjalan kaki bagi membeli juadah berbuka, suspek secara kasar melanggar badan serta sengaja menyentuh dada dan punggung dengan menggunakan tangan,”katanya di sini.
Menurutnya, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah berjalan kaki serta sengaja melanggar badan mangsa sebelum menyentuh bahagian badan.
“Suspek mengakui terlibat dalam kes itu dan menyatakan perlakuannya bertindak mencabul mangsa adalah kerana sudah lama tidak bersama wanita disebabkan dirinya yang menghidap HIV positif sejak 13 tahun yang lalu,”katanya.
Catat Ulasan