Booking Lain Dapat Lain


Sebuah keluarga tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan ketika bercuti ke Langkawi baru-baru ini apabila keadaan rumah tidak seperti yang diiklankan.

Menerusi video ini, kejadian berlaku ketika mereka yang terdiri daripada 13 dewasa dan kanak-kanak ingin ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Pada mulanya, wanita itu berkata sepatutnya mereka menginap di rumah lain, akan tetapi ditukar oleh pemilik sehari sebelum tarikh masuk.

Namun ketika tiba di inap desa kedua, alangkah terkejutnya keluarga itu apabila melihat keadaan rumah yang usang, menyeramkan serta langsung tidak terjaga.

Lebih teruk lagi, air kolam yang berada di tengah rumah tersebut berada dalam keadaan sangat kotor sehingga ada bangkai katak yang tidak dibersihkan.

Ia mengejutkan pengguna tersebut kerana gambar yang diiklankan sungguh berbeza dengan apa yang dilihat depan mata.

“Masa ‘booking’ (tempah) gambar lawa, dah sampai lain pula cerita. Dah sampai ‘homestay’ and nak ‘check in’, tengok persekitaran memang tak selamat.. tak bersih dan seram."

“Sehari sebelum pemilik ada beritahu ada biawak mati dalam rumah dia.. Jadi bila berbincang, dia setuju bagi rumah pintu yang lain.. Tapi bila dah sampai, pemilik kata tak sempat kemas rumah yang dijanjikan,” katanya.


Ujarnya, meskipun pemilik bersetuju untuk memulangkan semula duit sepenuhnya namun mereka sekeluarga berdepan dengan kesusahan kerana perlu mencari rumah inap desa yang lain.

“Dah sampai sana weh, ‘homestay’ pula memang tak selamat diduduki.. telefon sana sini dan alhamdulillah dapat ‘homestay’ baru lebih dekat dengan lapangan terbang dan banyak bilik."

“Tak tahu nak dikategorikan sebagai ‘scam’ atau tak sebab pemilik pulangkan duit sepenuhnya.. Cuma memang huru hara hari pertama kami,” katanya lagi.

Kelihatan di dalam video, dapur inap desa terbabit dalam keadaan tidak terjaga dengan bumbung rosak serta ada pokok menjalar masuk ke bahagian penyimpanan kuali.

Sementara itu, seorang lelaki yang dipercayai merupakan anak kepada pemilik inap desa tersebut tampil memohon maaf kepada wanita itu.

Katanya, keadaan rumah itu adalah kesan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Covid-19 membuatkan sukar untuk mengekalkan kebersihan seperti sebelum ini.

“Saya sebagai anak kepada pemilik tempat ini sangat memohon maaf diatas kesulitan yang berlaku. Ini semua sebab PKP yang terlalu lama menyebabkan kesukaran untuk menjaga ‘maintenance’ tempat ini secara rutin,” katanya lagi.


0/kiriman komen